Khamis, 19 Disember 2013

Bersama mengembara ke Gunung Berkabus


The Hobbit: The Desolation of Smaug ialah sinambungan kepada filem The Hobbit: An Unexpected Journey yang diarahkan oleh Peter Jackson, diadaptasi daripada novel The Hobbit karya J.R.R. Tolkien.

Kali ini ia mengisahkan bagaimana seorang Hobbit bernama Bilbo Baggins menyambung pengembaraannya bersama 13 orang kerdil dan seorang ahli sihir bernama Gandalf untuk membunuh Smaug, seekor naga dan mengembalikan takhta raja orang kerdil bernama Thorin Oakenshield.

Di dalam perjalanan mereka telah diburu dengan sekumpulan Orcs ataupun sejenis makhluk gasar yang diarahkan oleh suatu kuasa jahat untuk membunuh kumpulan orang kerdil ini.

Mereka telah bertemu dengan beruang jadian bernama Beorn, hampir-hampir dimakan oleh kumpulan labah-labah gergasi, ditangkap oleh pari-pari atau Elves dan diselamatkan oleh manusia bernama Bard the Bowman yang mempunyai kaitan dengan Smaug dan Thorin Oakenshield.

Pada masa yang sama, Gandalf yang mengesan akan kehadiran kuasa jahat terpaksa meninggalkan kumpulan orang kerdil ini dan berhadapan dengan musuh lama yang bakal menyebabkan malapetaka kepada Middle-Earth.

Sementara Bilbo pula mendapati perubahan pada dirinya yang pada mulanya disangkakan adalah keberanian yang ditemui dalam pengembaraannya, namun akhirnya ia mengesyaki bahawa ia bukanlah keberanian sebaliknya merupakan dorongan daripada cincin emas yang ditemuinya dalam gua Gollum.

Terus-terang aku katakan sinambungan kali ini tidak membosankan dan membuatkan aku tidak sabar untuk menantikan sambungannya pada tahun hadapan iaitu The Hobbit: There and Back Again.

Kisah The Hobbit ini diinspirasikan oleh J.R.R. Tolkien melalui pengalamannya hidup pada era peperangan iaitu Perang Dunia Pertama dan Kedua. Tema yang dipaparkan dalam kisah ini ialah keberanian, kerjasama dengan semangat berpasukan dan mencari serta menghargai keamanan.

Lagu yang dimainkan pada akhir filem ini berjudul I See Fire dendangan Ed Sheeran.

Tiada ulasan: