Rabu, 30 Januari 2013

Pelakon James Bond yang terpaksa menipu untuk mendapatkan peranan tersebut


George Lazenby ialah satu-satunya pelakon yang membawakan watak perisik hebat James Bond untuk sebuah filem sahaja. Difahamkan itu juga adalah permintaan George Lazenby sendiri, hanya mahu melakonkan watak tersebut sekali sahaja untuk seumur hidup.

George Lazenby melakonkan watak James Bond untuk filem James Bond ke-6 berjudul On Her Majesty's Secret Service. Filem tersebut diterbitkan pada tahun 1969 yang diarahkan oleh Peter R. Hunt.

George Lazenby mengimpikan untuk berlakon sebagai Bond sejak menonton filem James Bond yang pertama berjudul Dr. No pada tahun 1962. Di dalam filem Dr. No watak James Bond dilakonkan oleh Sean Connery.

Sean Connery telah membuat keputusan untuk bersara daripada melakonkan watak James Bond selepas filem You Only Live Twice diterbitkan. Ini merupakan peluang keemasan bagi Lazenby untuk mencuba nasib sebagai Bond.

Demi untuk menggapai impiannya, Lazenby telah pergi menggunting rambutnya ala Sean Connery di kedai gunting yang biasa dikunjungi oleh pelakon tersebut. Tidak cukup dengan itu, dia juga berusaha mendapatkan pakaian lama Sean Connery dan jam tangan Rolex yang biasa dipakai oleh Sean Connery. Setelah memakai pakaian tersebut, Lazenby pergi menghadiri ujibakat untuk watak James Bond.

Sebaik sahaja berada di dalam bilik ujibakat, Lazenby memberitahu pihak penerbitan bahawa dia telah berlakon berpuluh buah filem di seluruh dunia, dari Hong Kong ke Jerman (filem On Her Majesty's Secret Service adalah filem pertama lakonan George Lazenby).

Lazenby berjaya meyakinkah pihak penerbitan dan mereka bersetuju mengambilnya sebagai James Bond yang baharu menggantikan Sean Connery. Beliau menjadi pelakon bukan British pertama yang membawakan watak James Bond. George Lazenby ialah warganegara Australia.

Sean Connery kembali membawakan watak James Bond untuk filem Bond seterusnya iaitu Diamonds Are Forever pada tahun 1971. Kemudian pelakon Roger Moore menggantikan Sean Connery sebagai James Bond untuk filem Live and Let Die pada tahun 1973.

Sean Connery kembali sebagai James Bond untuk filem Never Say Never Again pada tahun 1983 bagaimanapun filem ini bukanlah terbitan EON Productions yang biasanya menerbitkan filem-filem James Bond sehingga kini.

Meskipun George Lazenby hanya membawakan watak James Bond sekali sahaja, namun watak tersebut seakan 'melekat' kepada dirinya. Dalam sebuah episod siri televsiyen The New Alfred Hitchcock Presents berjudul Diamonds Aren't Forever, George Lazenby pernah muncul membawakan watak sebagai James ...... (di dalam episod tersebut dia tidak pernah sempat menghabiskan namanya, namun watak yang dibawakannya menggambarkan imej seorang perisik ala James Bond yang berpakaian kemas dan menggunakan peralatan canggih).

George Lazenby juga pernah muncul sebagai bintang undangan dalam telemovie The Return of the Man from U.N.C.L.E. sebagai seorang perisik veteran bernama J.B. (akronim untuk James Bond). J.B. juga menggunakan kereta jenis Aston Martin DB5 yang sering digunakan oleh James Bond.

Sumber:

1 ulasan:

WanBeruas berkata...

...masa gua kecik dulu bila HAri Merdeka panggung wayang kat kampung kami buat tayangan percuma cerita James Bond...kami sebut Jes Bon...hehehehe