Rabu, 30 Mac 2011

Menadah tangan, menghadap kiblat adab tertib berdoa


Solat Jumaat difardukan kepada lelaki Muslim dan dikerjakan seminggu sekali.

Allah SWT berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu) yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)." - Surah al-Jumu'ah: ayat 9

Sebelum dikerjakan solat Jumaat, khutbah diadakan bagi memperingati umat Islam bertakwa dan berpegang teguh dengan ajaran Islam.

Berkaitan persoalan mengenai sebahagian jemaah yang mengangkat tangan ketika doa dibacakan manakala sebahagian lagi tidak mengangkat tangan sebenarnya adalah persoalan sikap.

Apabila kita berdoa atau mendengar imam membaca doa, maka sepatutnya kita mengangkat tangan sebagai adab dan kesempurnaan berdoa.

Rasulullah SAW bersabda:

"Tuhan kamu Maha Pemalu dan Maha Pemurah. Dia malu jika hamba-Nya sudah mengangkat tangan berdoa kepada-Nya lalu tidak diberi." - Hadis riwayat Al-Tirmizi dan Ibn Majah.

Antara adab lain ketika berdoa ialah menghadap kiblat, memanfaatkan waktu mulia seperti Hari Arafah, hari Jumaat, sesudah solat dan sebagainya, hendaklah makan makanan halal, memulakan doa dengan memuji Allah dan bersalawat kepada Nabi, begitu juga ketika menutupnya dan sebagainya.

Oleh Ustaz Zahazan Mohamed, Berita Minggu 6 Februari 2011.

Tiada ulasan: