Isnin, 7 Mac 2011

Artis dan selebriti Barat yang memeluk Islam


Muhammad Ali.

Nama asalnya Cassius Clay. Bekas peninju profesional. Mula mengenali Islam pada tahun 1964 apabila menyertai sebuah gerakan Islam di Amerika Syarikat iaitu Nation of Islam. Beliau kemudian dikenali sebagai Cassius X, sempena nama seorang lagi personaliti Islam di Amerika iaitu Malcolm X. Seperti juga Malcolm X, pada mulanya memeluk Islam kerana hendak membela nasib orang kulit hitam yang ditindas di Amerika dan menganggap bahawa semua orang kulit putih adalah musuh. Beliau kemudian menukar namanya kepada Muhammad Ali sempena nama dua orang yang paling dihormati dalam agama Islam iaitu Nabi Muhammad SAW dan Saidina Ali r.a. Muhammad Ali telah menimbulkan kontroversi apabila enggan menyertai tentera Amerika yang ditugaskan untuk berperang di Vietnam. Antara alasan yang diberikan oleh beliau ialah tentera Vietcong tiada sebarang kesalahan kepada beliau dan tidak pernah menggelarkannya 'nigger' seperti kaum kulit putih di Amerika. Muhammad Ali juga menyifatkan bahawa orang Islam hanya boleh berperang untuk Allah dan untuk menegakkan Islam, orang Islam tidak sepatutnya berperang untuk orang Kristian. Pada tahun 1975 setelah kematian Elijah Muhammad iaitu pengasas Nation of Islam yang bersifat radikal dan perkauman Muhammad Ali mendapat ajaran Islam yang sebenar yang berlandaskan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.


Yusuf Islam

Sebelum memeluk Islam, Yusuf dikenali dengan nama pentasnya Cat Steven. Nama sebenarnya Steven Demetre Georgiou. Sebelum memeluk Islam, Cat Steven sebenarnya tiada agama yang tetap kerana menurut biografi Yusuf Islam, beliau lebih merupakan seorang pencari iaitu mencari suatu agama yang sesuai untuk dirinya. Beliau telah mencuba berbagai kepercayaan di dunia termasuk fahaman komunisme hinggalah akhirnya beliau membaca terjemahan al-Quran yang dihadiahkan oleh abangnya kepadanya. Apabila membaca terjemahan tersebut, beliau mula tertarik dengan Islam kerana persamaan yang terdapat dalam Islam dengan Kristian. Dia menjumpai nama nabi-nabi yang turut disebutkan dalam kitab Injil seperti Adam, Noh, Ibrahim, Musa dan Isa turut disebutkan dalam al-Quran dan al-Quran menceritakan dengan lebih terperinci tentang nabi dan rasul yang terakhir iaitu Muhammad SAW. Pada 23 Disember 1977 Cat Stevens memeluk Islam dan menukar namanya kepada Yusuf Islam kerana begitu menyukai kisah Nabi Yusuf yang diceritakan dalam Surah Yusuf.


Kareem Abdul-Jabbar

Nama sebenarnya Ferdinand Lewis "Lew" Alcindor, Jr. Merupakan bekas pemain bola keranjang NBA. Kareem Abdul-Jabbar juga dikenali sebagai pelakon dan antara filem yang dilakonkannya adalah filem Game of Death bersama legenda Kung-fu, mendiang Bruce Lee. Seperti Muhammad Ali, Kareem Abdul-Jabbar juga memeluk Islam setelah menyertai gerakan Nation of Islam pada tahun 1968 bagaimanapun beliau terus mengikuti Islam sebenar berlandaskan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Kareem Abdul-Jabbar pernah menyaman seorang pemain bolasepak Amerika iaitu Karim Abdul-Jabbar kerana didakwa menirunya. Karim Abdul-Jabbar juga memakai jersi bernombor 33, nombor yang kebetulan sama dengan nombor jersi Kareem Abdul-Jabbar. Karim Abdul-Jabbar juga telah menimbulkan kekeliruan bagi pihak media dan banyak akhbar yang melaporkan bahawa Karim adalah anak kepada Kareem Abdul-Jabbar. Setelah pendakwaan tersebut yang berlaku pada tahun 1998, pemain bolasepak itu telah menukar namanya kepada Abdul Karim al-Jabbar.


Sumber: wikipedia

Tiada ulasan: