Jumaat, 24 September 2010

Filem-filem Fantasi dan Sains Fiksyen terbaharu

Magika

Filem sulung arahan Edry Abdul Halim aka Edry KRU. Mengisahkan dua beradik iaitu Ayu (Diana Danielle) dan Malik (Fimie Don) telah tersesat ke alam bunian. Malik telah diculik oleh Nenek Kebayan (Ziana Zain) dan Ayu terpaksa mencarinya. Ayu bertemu dengan Badang (Mawi) dan Badang bersetuju untuk membantu Ayu mencari adiknya. Di sepanjang perjalanan mereka bertemu dengan watak-watak mitos dan legenda Melayu.


Skyline

Filem yang diterbitkan dan diarahkan oleh adik-beradik Strause. Ia mengisahkan bandaraya Los Angeles disinari dengan cahaya misteri. Sebaik sahaja manusia terdedah kepada cahaya tersebut, ia akan hilang. Hanya beberapa orang yang terselamat daripada sinaran ini. Dibintangi oleh Eric Balfour, Scottie Thompson, David Zayas, Donald Faison, Brittany Daniel dan Neil Hopkins.


Resident Evil: Afterlife

Lanjutan daripada siri Resident Evil, mengisahkan Alice bersama-sama mereka yang terselamat daripada wabak T-Virus berjuang untuk memusnahkan Umbrella Corporation. Dan pertarungan kali ini bukan hanya menentang mayat hidup sahaja. Dibintangi oleh Mila Jovovich, Ali Larter, Wentworth Miller, Shawn Roberts dan Spencer Locke.


Let Me In

Adaptasi daripada novel dan filem Sweden berjudul Let The Right One In. Ia mengisahkan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun telah bersahabat dengan puntianak. Filem ini diarahkan oleh Matt Reeves dan dibintangi oleh Kodi Smit-McPhee, Chloë Moretz, Richard Jenkins, Elias Koteas dan Cara Buono.


Yogi Bear

Filem animasi yang diadaptasi daripada siri kartun tahun 80'an terbitan Hanna Barbera. Kali ini diterbitkan oleh Warner Bros. dan Hanna Barbera Production dan diarahkan oleh Eric Brevig. Mengisahkan Jellystone Park yang hendak dijual oleh Mayor Brown. Yogi Bear, Boo-Boo, renjer hutan bernama Smith dan seorang pengarah filem bernama Rachel berusaha agar Jellystone Park tidak dijual. Menggunakan khidmat suara pelakon terkenal seperti Dan Akroyd, Justin Timberlake, Christine Taylor, Tom Cavanagh dan Anna Faris. Yogi Bear merupakan filem animasi pertama terbitan Hanna Barbera Production selepas kematian Bill Hanna dan Joseph Barbera.


Black Swan

Sebuah filem thriller arahan Darren Aronofsky. Filem ini menggunakan teknologi 2D dan 3D. Ia mengisahkan tentang suatu pementasan teater ballet berjudul Swan Lake di New York City. Pengarah dan penerbit teater tersebut, Thomas Leroy (lakonan Vincent Cassel bercadang untuk menggantikan penari ballet Beth MacIntyre (lakonan Winona Ryder) dengan Nina Sayers (lakonan Natalie Portman). Di dalam teater tersebut Nina akan memegang watak sebagai White Swan manakala watak gelap Black Swan dibawakan oleh seorang penari ballet lain bernama Lily (lakonan Mila Kunis). Demi untuk menjayakan teater tersebut Nina telah bersahabat dengan Lily, namun terdapat sesuatu yang aneh tentang persahabatan itu.


Gulliver's Travels

Filem fantasi terbaharu arahan Rob Letterman yang diadaptasi daripada novel Gulliver's Travels karya Jonathan Swift. Di dalam novel latar masa filem ini ialah pada abad ke-18, namun di dalam filem ini ia ditukar ke abad ke-21. Ia mengisahkan seorang penulis bernama Lemuel Gulliver (lakonan Jack Black) yang pergi ke Segitiga Bermuda atas arahan penerbitnya. Sesuatu terjadi dan Gulliver mendapati dirinya telah tiba di sebuah pulau bernama Liliput yang didiami oleh orang kenit. Antara pelakon lain yang membintangi filem ini ialah Emily Blunt, Jason Segel, Amanda Peet, T.J. Miller, Catherine Tate dan Billy Connolly.


Hereafter

Sebuah filem dengan unsur supernatural arahan Clint Eastwood. Dibintangi oleh Matt Damon, Cécile de France, Bryce Dallas Howard dan Jay Mohr. Ia mengisahkan seorang lelaki bernama George (lakonan Matt Damon) yang mampu berkomunikasi dengan roh. Seorang wartawan TV bernama Marie (lakonan Cécile de France) pula hampir maut ketika kejadian tsunami manakala seorang kanak-kanak menyaksikan kematian abang kembarnya. Di akhir filem, ketiga-tiga watak ini akan bertemu.


The Chronicles of Narnia: The Voyage of the Dawn Treader

Episod ketiga dalam siri The Chronicles of Narnia. Diadaptasi daripada novel The Voyage of the Dawn Treader karya C.S. Lewis. Filem ini diarahkan oleh Michael Apted dan merupakan filem The Chronicles of Narnia pertama yang diedarkan oleh 20th Century Fox. Dua filem sebelum ini diedarkan oleh Walt Disney Pictures. Ia mengisahkan Raja Caspian telah membina sebuah kapal bernama Dawn Treader dan akan belayar untuk mencari Seven Lords yang telah dinyahkan oleh Miraz sewaktu menduduki takhta. Turut bersama dalam pelayaran ini ialah Edmund dan Lucy Pevensie dan Eustace Scrubb. Filem ini dibintangi oleh Skandar Keynes, Georgie Henley, Will Poulter, Ben Barnes, Laura Brent. Suara Liam Neeson masih digunakan untuk watak Aslan.


Harry Potter and the Deathly Hallows

Filem ini akan dikeluarkan dalam dua bahagian dan merupakan pengakhiran untuk siri Harry Potter yang diadaptasi daripada novel bersiri Harry Potter karya J.K. Rowling. Filem ini diarahkan oleh David Yates dan diedarkan oleh Warner Bros.


Tron: Legacy

Sekuel kepada filem Tron yang pernah dibikin pada tahun 1982. Filem ini diarahkan oleh Joseph Kosinski dan diterbitkan oleh Walt Disney Pictures. Ia mengisahkan seorang pemuda bernama Sam Flynn (lakonan Garrett Hedlund) yang dihantui oleh misteri kehilangan ayahnya, Kevin Flynn (lakonan Jeff Bridges). Kevin Flynn merupakan CEO kepada ENCOM International dan merupakan pencipta permainan video TRON. Apabila Sam menyiasat isyarat misteri di komputer ayahnya dia secara tidak sengaja telah ditarik masuk ke dalam dunia TRON. Turut membintangi filem ini ialah Bruce Boxleitner, Michael Sheen, Olivia Wilde, Beau Garrett dan John Hurt.

2 ulasan:

Abang Ben berkata...

let the right one in tu best... peh... banyak cerita best ni!

zulazahari berkata...

Actually Abg Ben, Let Me In merupakan remake untuk filem Let the Right One In. Let the Right One In adalah filem Sweden manakala Let Me In versi US. Selalunya filem seram yg dibikin semula oleh US adalah hampeh, harap2 nya filem ini serupa dgn yg asal.