Selasa, 3 November 2009

Sinambungan Chen Zhen

Chen Zhen merupakan watak rekaan daripada Hong Kong. Pertama kali watak Chen Zhen diperkenalkan adalah menerusi filem Fist of Fury pada tahun 1972 dan watak ini dilakonkan oleh mendiang Bruce Lee.

Watak ini kemudian dijayakan pula oleh Jackie Chan (ketika itu menggunakan nama Sing Lung) pada tahun 1976 dalam filem New Fist of Fury.

Pada tahun 1994 nama Chen Zhen disebut lagi apabila ia menjadi watak utama untuk filem Fist of Legend lakonan Jet Li. Sebenarnya filem Fist of Legend merupakan remake untuk filem Fist of Fury dengan jalan ceritanya diubah sedikit.

Di dalam ketiga-tiga filem ini, Chen Zhen merupakan murid kepada Huo Yuanjia, pakar seni mempertahankan diri China yang telah memperkenalkan seni mempertahankan diri Chin Woo. Huo Yuanjia dikatakan telah diracun oleh salah seorang anggota seni mempertahankan diri dari Jepun. Kisah tentang Huo Yuanjia telah diadaptasikan dalam filem Fearless di mana watak Huo Yuanjia dilakonkan oleh Jet Li.

Kisah Chen Zhen akan dilanjutkan lagi dalam filem terbaru arahan Andrew Lau dan Gordon Chan berjudul The Legend of Chen Zhen. Ia mengisahkan tentang Chen Zhen dikatakan mati ditembak oleh beberapa orang Jepun setelah dia mengamuk di sebuah dojo (sekolah seni mempertahankan diri Jepun) kerana membalas dendam atas kematian gurunya.

Tujuh tahun kemudian seorang usahawan berjaya telah datang ke Shanghai dan ingin bersahabat dengan ketua kongsi gelap di Shanghai. Dalam masa yang sama beberapa kegiatan jenayah kongsi gelap itu telah dipatahkan oleh seorang lelaki misteri. Siapakah lelaki tersebut dan apakah kaitannya dengan usahawan yang baru tiba di Shanghai itu?

Filem ini dilakonkan oleh Donnie Yen, Shu Qi dan Anthony Wong. Filem ini dijangka akan ditayangkan pada tahun 2010.

Tiada ulasan: