Khamis, 10 September 2009

Beberapa filem akan datang yang diadaptasi dari permainan video


Prince of Persia: The Sands of Time

Filem yang diadaptasi daripada permainan video Prince of Persia ini mengisahkan seorang pemuda bernama Dastan yang menjadi anak angkat kepada Raja Persia. Dastan yang menjadi Putera Persia harus merampas kembali sejenis alat yang dipanggil The Sands of Time dari tangan penjahat bernama Nizam. The Sands of Time adalah sejenis alat yang dikatakan mampu mengawal masa. Dastan dibantu oleh Puteri Tamina untuk merampas kembali alat tersebut dan menghapuskan Nizam. Filem ini dibintangi oleh Jake Gyllenhaal, Gemma Arterton, Ben Kingsley dan Alfred Molina. Dikatakan sebelum ini watak Dastan pernah ditawarkan kepada pelakon Bollywood Hrithik Roshan bagaimanapun beliau menolak. Filem ini diarahkan oleh Mike Newell dan diterbitkan oleh Jerry Bruckheimer. Filem ini dijangka akan ditayangkan pada bulan Mei 2010.



King of Fighters

Walaupun judul filem ini sama dengan permainan video aksi pertarungan King of Fighters, namun plotnya telah diubah menjadi sebuah filem aksi sains fiksyen. Ia mengisahkan sekumpulan manusia yang mahir dalam seni mempertahankan diri cuba untuk mengalahkan suatu kuasa asing. Filem ini dibintangi oleh Sean Faris, Maggie Q, Bernice Liu, Will Yun Lee dan Ray Park. Ia diarahkan oleh Gordon Chan dan dijangka akan ditayangkan pada bulan Jun 2010.



HALO

Penggambaran filem ini masih ditangguhkan berikutan tiada pengarah dan penerbit yang sesuai untuk filem ini. Pada mulanya pengarah dan penerbit filem District 9 iaitu Neil Blomkamp dan Peter Jackson dikatakan berminat dengan adaptasi dari permainan video HALO ini. Bagaimanapun, mereka membatalkan hasrat mereka dan meneruskan projek District 9. Kemudian dikatakan pengarah filem Hellboy iaitu Guillermo del Toro turut berminat untuk mengarah filem HALO. Juga terdapat khabar angin mengatakan Steven Spielberg juga berminat dengan filem HALO. Setakat ini pihak Microsoft mengatakan projek HALO masih tertangguh.



Gears of War

Filem ini diadaptasi daripada permainan video aksi peperangan Gears of War keluaran Microsoft. Ia mengisahkan sepasukan tentera elit yang ditugaskan untuk menghentikan kegiatan pengganas. Buat masa ini dikatakan filem ini akan diarahkan oleh Len Wiseman. Pelakon yang dikatakan akan membintangi filem ini ialah Dwayne 'The Rock' Johnson dan Kate Beckinsale. Filem ini dijangka akan ditayangkan pada tahun 2011.



World of Warcraft.

Juga masih dalam perbincangan. Filem yang diadaptasi daripada permainan video World of Warcraft berkonsepkan epik fantasi ala-ala Lord of the Rings dan Dungeons and Dragons. Pengarah filem Spider-Man dan Evil Dead iaitu Sam Raimi dikatakan akan mengarahkan filem ini. Belum ada sebarang berita mengenai siapa yang akan membintangi filem ini. Filem ini dijangka akan ditayangkan pada tahun 2011.



God of War

Filem ini diadaptasi daripada permainan God of War yang berkonsepkan epik fantasi, diadaptasi daripada mitos Yunani. Ia mengisahkan seorang pahlawan Yunani bernama Kratos mengetuai sepasukan tentera Yunani, bertujuan untuk membunuh Dewa Peperangan bernama Ares. Bagaimanapun Kratos terpaksa berhadapan dengan konco-konco Ares terlebih dahulu iaitu Medusa, Cyclops dan Hydra. Setakat ini masih belum diketahui siapakah pengarah filem ini. Sebelum ini dikatakan Brett Ratner akan mengarahkannya tetapi dia telah menarik diri. Filem ini dibintangi oleh Djimon Hounsou sebagai Kratos dan dijangka akan ditayangkan dalam tahun 2010.

3 ulasan:

Dr. Bentara berkata...

Gears of War tu WAJIB kekalkan lagu tema dari MEGADETH!

zulazahari berkata...

Betul tu Abang Ben, buat masa nie belum ada information tentang soundtrack untuk filem ini, bila ada nanti gua akan post dlm blog, ok? Keep in touch.

fadz berkata...

bestnya! prince of persia! main masa kecik2 dulu