Isnin, 28 Julai 2008

PERCAYALAH


Setelah membaca review-review yang agak down mengenai The X Files: I Want to Believe sedikit sebanyak membuatkan aku patah semangat untuk menonton filem ini. Namun disebabkan aku adalah merupakan peminat setia siri ini dulu, maka aku lapangkan dada dan pergi juga menontonnya.

Walaupun filem ini agak kurang publisitinya berbanding filem The Mummy 3 dan The Dark Knight, sambutannya tetap hebat. Panggung tetap penuh. Selepas beberapa trailer ditayangkan, antaranya The Mummy 3, Babylon AD, Wall E dan Meet Dave (Eddie Murphy memang kelakar habis dalam filem ini, mungkin nak menyaingi Will Smith yang telah menenggelamkan namanya) maka filem yang ditunggu pun bermula.

Filem ini masih mengekalkan identiti The X Files walaupun plot kali ini agak ringan dan sejuk, ya, filem The X Files kali ini memang sejuk sangat hinggakan sewaktu aku menulis artikel inipun dalam keadaan selsema, haha. Agak kurang elemen supernatural yang dipaparkan kali ini melainkan hubungan telephatik antara seorang paderi yang 'pedophile' dengan bekas anak murid yang pernah menjadi mangsanya, yang pada mulanya disangkakan sebagai kebolehan psikik paderi tersebut. Tetapi mungkin juga, apabila dia mengetahui akan masalah yang dihadapi oleh Scully.

Sementara Mulder pula masih lagi dengan sifat keras kepala dan penuh keazaman, walaupun sudah boleh menerima hakikat akan kehilangan adik perempuannya. Mungkin kerana Mulder tidak lagi kesunyian.

Apa yang aku nampak, The X Files kali ini lebih kepada moral storytelling, iaitu cuba untuk menasihati melalui filem ini. Sejajar dengan tajuknya I Want to Believe, ia seolah-olah ingin mengajak penonton untuk beriman, seperti perbualan antara Paderi Joe bersama Scully. Maka aku rasa filem ini tidak sesuai ditayangkan sekarang, sebaliknya ia boleh dijadikan filem khas untuk tayangan Krismas dan diberi judul The X Files Christmas Special.

I Want to Believe tidaklah begitu mengecewakan berbanding Indiana Jones and the Kingdom of the Crystal Skull. Aku masih rasa berbaloi membeli tiket untuk menonton filem ini. Dengarnya
Chris Carter akan membuat sambungan untuk I Want to Believe. Dan kali ini ia akan kembali kepada plot asalnya iaitu mengenai penaklukan makhluk asing.

Kenapa agaknya muzik tema X Files berkumandang apabila gambar George W. Bush dipaparkan? Itulah misteri yang sebenarnya dalam filem ini.

Tiada ulasan: