Isnin, 14 Julai 2008

KOBOI PELIK

Koboi pelik ataupun dalam Bahasa Inggerisnya 'Weird Western' adalah gabungan genre Western dengan genre yang lain seperti seram, sains fiksyen dan fantasi. Sebagai contoh filem 'weird western' yang popular ialah filem The Wild Wild West yang dilakonkan oleh Will Smith, merupakan gabungan filem koboi (western) dan sains fiksyen. Di bawah aku senaraikan beberapa filem 'weird western' yang pernah aku tonton dan akan tonton.



Billy the Kid vs. Dracula


Contoh gabungan seram dan western. Di dalam filem ini legenda koboi
Billy the Kid menentang pontianak bernama Count Dracula. Filem ini diterbitkan pada tahun 1966 dan dilakonkan oleh John Carradine sebagai Count Dracula manakala watak Billy the Kid dipegang oleh Chuck Courtney.



Jesse James Meets Frankenstein's Daughter


Selepas Billy the Kid menentang Dracula, seorang lagi legenda Amerika menentang makhluk paling menggerunkan iaitu
Frankenstein. Juga terbitan tahun 1966 dibintangi oleh John Lupton sebagai Jesse James.



High Plains Drifter


Walaupun filem ini merupakan filem koboi yang tulin, tetapi watak hero yang dibawa oleh Clint Eastwood dalam filem ini begitu misteri. Tiada nama untuk watak Clint Eastwood dalam filem ini. Siapa dia yang sebenar, hantu atau manusia? Dan kedatangannya ke pekan Lago membuatkan ramai orang di situ gerun kepadanya. Mungkin juga dia adalah malaikat maut yang datang untuk mencabut nyawa. Carilah filem terbitan tahun 1973 yang diarahkan oleh Clint Eastwood sendiri, memang berbaloi. Contoh sebuah filem western berbentuk thriller.



Outland


Filem yang diadaptasi dari filem western lama,
High Noon. Tempat dan masa telah diubah, bukan lagi di Amerika Syarikat tetapi di sebuah planet, di masa hadapan. Dibintangi oleh Sean Connery.



Back to the Future III


Lanjutan dari filem Back to the Future II mengisahkan Marty McFly kembali ke zaman koboi untuk membawa kembali Dr. Emmett Brown ke zaman sebenar, sekaligus mengetahui tentang asal-usul keluarga McFly. Dibintangi oleh Michael J. Fox dan Christopher Lloyd.



Purgatory


Sekumpulan penjenayah melarikan diri setelah merompak sebuah bank di sebuah bandar. Mereka kemudian tiba di sebuah pekan dan disambut oleh komuniti di pekan itu yang hidup secara aman dan tidak menggunakan senjata api. Mereka tidak mengetahui bahawa komuniti yang ada di pekan itu adalah bekas penjenayah dan legenda Amerika yang telah mati seperti Billy the Kid, Jesse James,
Doc Holliday, Wild Bill Hickock dan sebagainya. Pekan ini mungkin persinggahan sebelum menuju ke syurga atau neraka, bermakna kumpulan perompak itu sudah pun mati sebenarnya. Dibintangi oleh Donnie Wahlberg.



Dead Birds


Sekumpulan perompak bank melakukan rompakan di sebuah bank sewaktu zaman
Perang Saudara Amerika. Kumpulan ini diketuai oleh William, seorang tentera Konfederasi yang lari dari medan perang, Todd, seorang hamba juga dalam pelarian, dan Annabelle, jururawat tentera. Rompakan mereka tidak berjalan lancar seperti yang dirancangkan apabila mereka terlibat dengan pertempuran bersama anggota tentera yang kebetulan berada di bank tersebut. Bagaimanapun mereka dapat melarikan beberapa jongkong emas. Mereka kemudian melarikan diri menuju ke Mexico. Ketika malam menjelang, mereka singgah di sebuah rumah tinggal berhampiran ladang jagung, tanpa mengetahui bahawa maut menanti mereka di rumah ini. Dead Birds diarahkan oleh Alex Turner.



Gallow Walker


Kisah pemburu zombie bernama Aman di zaman koboi. Dibintangi oleh
Wesley Snipes dan Riley Smith. Dijangka akan ditayangkan pada tahun 2009.

Tiada ulasan: