Khamis, 31 Julai 2008

DIRTY MARY, CRAZY LARRY

Bagi generasi baru, filem ini mungkin asing ataupun mungkin tidak pernah didengar, bagi generasi yang lahir tahun 70'an filem ini mungkin pernah ditonton, tapi sudah dilupakan.

Bagi mereka yang meminati filem-filem 'road movie' yang ada adegan kejar-mengejar antara polis dan pencuri, filem ini adalah 'mutiara' yang perlu dicari. Dan filem ini adalah salah satu daripada 'personal favourite' aku.

Mungkin agak susah untuk mendapatkan filem ini di pasaran. Aku pernah jumpa DVD filem ini di Speedy tetapi memandangkan ia agak klasik, harganya membuatkan aku berfikir berpuluh-puluh kali untuk membelinya.

Dirty Mary, Crazy Larry adalah filem terbitan tahun 1974. Dibintangi oleh Peter Fonda, Susan George, Adam Roarke dan Vic Morrow (Sgt. Saunders dalam siri TV Combat!...la Combat pun tak pernah tengok? Tak dapek den nak nolong.)

Dua orang pemandu berani mati bernama Larry dan Deke telah menahan isteri dan anak perempuan seorang pengurus supermarket sebagai tebusan. Mereka menuntut sebanyak $150,000 daripada pengurus tersebut sebagai modal untuk mereka menyertai satu perlumbaan kereta.

Setelah berjaya memiliki wang tersebut, mereka telah diugut oleh teman wanita Larry iaitu Mary yang akan melaporkan perbuatan mereka sekiranya mereka tidak membawanya bersama ke perlumbaan itu (perlumbaan NASCAR).

Sementara itu, pihak polis sedang memburu mereka. Satu pasukan yang diketuai oleh Captain Franklin telah berjaya mengesan mereka, bagaimanapun kereta peronda polis tidak mampu untuk menyaingi kereta Dodge Charger yang dipandu oleh Larry dan Deke.

Larry, Mary dan Deke sudah hampir kepada kejayaan, mereka telah berjaya mengatasi pihak polis dan semakin hampir ke tempat perlumbaan, namun penamat filem ini begitu memeranjatkan aku. Ya, aku memang tidak menyangka penamatnya begitu, aku sangkakan mereka berjaya ke tempat perlumbaan dan dapat menyertai serta memenangi perlumbaan itu, manakala Captain Franklin yang telah ditewaskan dalam pertandingan kejar-mengejar di lebuhraya akan melepaskan mereka atas sebab telah bertemu buku dengan ruas, tetapi bukan itu penamatnya. Penamatnya membuatkan aku berkata "whoa!" bila melihat kereta Dodge Charger yang dipandu Larry itu dirempuh keretapi dan meletup apabila mereka gagal memintasnya sewaktu melarikan diri dari pasukan polis. Sebuah 'ending' yang begitu 'tragic' memandangkan kejayaan sudah hampir kepada mereka.

Dan adegan pada 'ending' filem ini telah digunakan sewaktu 'opening' siri TV The Fall Guy (ingat lagi siri ini, lakonan Lee Majors?).

Filem lain yang senada dengan filem ini ialah Mad Max, Vanishing Point, The Road Warrior, Convoy, Smokey and the Bandit dan Dukes of Hazzard. Death Proof arahan Quentin Tarantino pun boleh masuk sekali, malahan beberapa kali judul filem ini disebut dalam Death Proof.

Tiada ulasan: