Seni vokal, muzik dan tari oleh Abd-ur-Rahman Al-Baghdadi. Diterjemahkan kepada bahasa Malaysia daripada bahasa asalnya Indonesia di laman seni.musikdebu.com.
Tarian Darwis Berputar (whirling Dervishes) yang popular di kalangan masyarakat Turki. Tarian ini dikatakan dicipta oleh Jalaluddin Al-Rumi.
MUQADDIMAH
Masyarakat Muslimin dewasa ini umumnya menghadapi kesenian sebagai suatu masalah sehingga timbulnya berbagai pertanyaan, bagaimana hukum tentang bidang yang satu ini, boleh, makruh atau haram? Di samping itu dalam amalan hidup sehari-hari, antara sedar atau tidak, mereka telah lama terdedah dengan kegiatan seni. Bahkan sekarang ini bidang tersebut telah pun menjadi sebahagian daripada gaya hidup bukan sahaja bagi mereka yang bermastautin di kota malahan mempengaruhi mereka yang berada di desa dan di kampung.
Media elektronik seperti radio, kaset, televisyen dan video telah disebarkan dengan meluas sehingga ke kawasan-kawasan pedalaman. Media ini telah lama mempengaruhi kehidupan remaja-remaja dan anak-anak muda terutamanya di kota. Tempat-tempat hiburan (maksiat) seperti kelab malam, disko dan pawagam bertambah dengan pesat dan mewarnai kehidupan remaja-remaja kota.
Sering kita lihat anak-anak muda berkumpul di rumah teman-temannya. Mereka mencari ketenangan dengan menyanyi, menari bersama tanpa mempedulikan hukum halal-haram. Kebanyakkannya berfikir bahawa hidup itu adalah untuk bersenang-senang, jatuh cinta, bercinta dan lain-lain lagi.
Semua keadaan yang disebutkan di atas berpunca dari kejatuhan seni budaya dan peradaban Islam. Kita dapat menyaksikan bahawa seni dan budaya kita telah digantikan oleh seni budaya dan peradaban dari Barat yang ideologinya menekankan kehidupan yang bebas tanpa pegangan agama.
Cabang seni yang sering dipersoalkan adalah nyanyian, muzik dan tarian. Ketiga-tiga bidang ini telah menjadi bahagian yang penting dalam kehidupan moden sekarang dan ketiga-tiga bidang ini juga dikatakan telah merosak akhlak dan nilai-nilai keislaman.
Disebabkan oleh kesan-kesan negatif yang dibawa oleh ketiga-tiga cabang seni ini menyebabkan ramai orang tertanya-tanya, khususnya bagi remaja yang sifat keislamannya dan keimanannya begitu menebal di dalam jiwa. Mereka bertanya: apakah pandangan Islam terhadap seni budaya? Bolehkah kita bermain alat-alat muzik seperti gitar, piano, organ atau seruling? Bolehkah kita mendengar muzik-muzik seperti blues, klasik, keroncong, rock dan lain-lain? Bagaimana dengan lagu-lagu bernada asmara, lucah, perjuangan, qasidah, kritik sosial dan sejenisnya? Di samping itu apa pula pandangan Islam terhadap seni tarian? Pandangan Islam terhadap tarian Barat seperti twist, soul, disko dan sebagainya? Bagaimana pula dengan tarian tradisional? Bolehkah lelaki dan wanita menari bersama-sama?
Bersambung di dalam entri yang akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan