TIPTON KE GUANTANAMO
OLEH FAISAL TEHRANI
SAYA akur dengan penuh rasa takjub bahawa sesungguhnya The Road to Guantanamo adalah filem terbaik yang pernah saya tonton dalam tempoh tiga tahun ini. Kisah benar mengenai empat sahabat baik yang berasal dari Tipton, England yang terperangkap di Afghanistan ketika Amerika Syarikat menggasak negara tersebut untuk menjatuhkan kerajaan Taliban dan kemudian terhumban di Kem Delta, Guantanamo sungguh meresap jiwa dan fikiran.
Filem atau doku-drama arahan Michael Winterbottom ini sudah pun menerima pengiktirafan besar di Pesta Filem Berlin tahun ini. Hanya dengan menggunakan pendekatan digital video, Winterbottom menelusuri insiden yang menyebabkan Shafiq Rasul, Rehul Ahmad dan Asif Iqbal ditahan di Guantanamo. Sebahagian besar filem ini adalah wawancara dengan ketiga-tiga sahabat karib tersebut, ucapan-ucapan politik Tony Blair, Donald Rumsfeld, George Bush serta ditunjangi pula oleh lakon semula yang dipersembahkan dengan sungguh hebat oleh Rizwan Ahmad, Farhad Harun, Waqar Siddiqui, Afran Usman dan Shahid Iqbal. Rencah di atas menjadikan doku-drama ini sebuah thriller yang mendebur dada setiap saat tayangannya.
Rehul, Shafiq dan Munir berlepas dari Tipton England untuk meraikan perkahwinan sahabat mereka, Asif di Pakistan ketika ambang Amerika akan menyerang Afghanistan. Entah lurus, pasti apolitical, mungkin juga jahil anak-anak muda di awal 20 tahun ini berlepas ke Pakistan dengan ingatan untuk melancong. Mereka melakukan jenayah kecil-kecilan di Tipton, pernah ditahan polis, remaja nakal yang sudah mula terpengaruh oleh peradaban Barat serta berkhayal untuk makan ‘a very big nan’ (roti nan yang sangat besar) apabila tiba di Pakistan. Dalam kembara mereka terpesona dengan khutbah seorang khatib di sebuah masjid di Quetta yang mengingatkan semua orang Islam itu bersaudara.
Berlima dengan turut disertai Zahid, sepupu Asif mereka ‘main-main’ untuk ke Afghanistan. Anak-anak muda tersebut tidak memikir langsung tentang perang yang sedang berada di muncungnya, dan pada 16 oktober 2001 mereka menerjah masuk ke Kabul, tinggal di sana dua minggu dan membahagi-bahagi wang pound kepada penghuni Kabul yang miskin, makan-makan lagi, merayau-rayau, membeli itu dan ini sebelum menyedari bahawa tidak ada apa yang mereka lakukan untuk menolong saudara seIslam. Kelima-lima mereka berusaha untuk berangkat pulang ke Pakistan tetapi di Kunduz, serangan berat menimpa, tentera Amerika Syarikat menghentam bumi Afghanistan dengan peluru berpandu setiap jam dan anjing-anjing suruhan Jeneral Rashid Dostum menggempur.
Dalam keadaan huru-hara diserang dan peluru sesat yang berdesingan, kelima-lima mereka terpisah-pisah. Sebahagian menumpang trak, sebahagian lagi dengan lori dan Munir terpisah dari mereka. Munir sesungguhnya terus hilang dari penglihatan mereka.Keadaan menjadi lebih sengit apabila mereka diserang oleh tentera Rashid Dostum, disumbat ke dalam kontena secara beramai-ramai hingga ramai yang mati lemas. Untuk bertahan malah, Shafiq minum air peluhnya sendiri yang diperah dari baju yang lencun.
Keadaan di penjara Sheberghan lebih buruk, dengan tanggapan mereka adalah pejuang Taliban, kesemua tahanan diseksa, tidak diberi makan dan minum dan apabila pemerintah tentera Amerika Syarikat mengambil alih penjara dan menemubual mereka, tiga serangkai tersebut disumbat ke penjara di Kandahar dan diseksa berhari-hari lamanya.
Menonton doku-drama ini sambil diselangi wawancara sebenar tiga sahabat tersebut kita di tunjukkan bahawa Amerika Syarikat memang menyeksa, mengerasi, dan berlaku tidak adil terhadap tahanan di Guantanamo. Secara sistematik misalnya, sahabat Tipton bertiga ini dijemur di tengah panas, disuruh membongkok sehingga kepenatan selama berjam-jam malah berhari-hari, ditelanjangkan dan dicabul maruah, ditutup dengan sarung guni, dan kita ditunjukkan keadaan di kem x-ray di mana tahanan di kurung dengan kaki dan tangan bergari, tidak dibenarkan bersembahyang, alQuran dikoyakkan, mereka diseksa seperti anjing, hatta tidak dibenarkan bercakap. Bukan itu sahaja keadaan kem yang penuh dengan ular dan kala-jengking dan jika melawan sedikit pasti dikurung di dalam sel berasingan.
Kem Delta yang menjadi rumah seterusnya buat mereka juga adalah neraka yang serupa. Muzik metal yang memekak dipasang sepanjang malam, penghawa dingin yang terlalu sejuk, dipaksa melihat gambar lucah, digari pada lantai dalam keadaan mencangkung dan selalunya dalam sesi soal-siasat mereka akan ditanya soalan yang sama, anda ahli al-Qaeda, anda pernah bertemu dengan Osama Bin Laden dan buat saya, adengan yang paling menyakitkan hati ialah apabila Rehul bersolat di kem x-ray, askar Amerika telah cuba menghalangnya dengan kata-kata, “Hey stupid, I thought you are Brit. Why are you praying like Moslem. What about your Queen?’
Doku-drama ini sebahagian besarnya digambari di Iran dan Pakistan. Idea untuk memfilemkan kisah sahabat bertiga ini terlintas di kepala Winterbottom apabila sahabatnya, Mat Whitecross mengikuti kisah sahabat Tipton bertiga ini dengan penuh rasa minat sebaik sahaja mereka dibebaskan dalam tahun 2004. Pada mulanya ketiga-tiga sahabat tersebut keberatan untuk bekerjasama membikin doku-drama ini kerana sebagai satu pengalaman pahit yang sukar dilupakan, bahagian yang paling menyayat hati tentulah kehilangan Munir yang entah di mana. Akan tetapi cakap-cakap dari pihak Pentagon yang keadaan di Guantanamo selaras dengan undang-undang antarabangsa dan perjanjian Geneva membuatkan mereka berazam untuk membantu Winterbottom menyediakan filem ini.
Kebetulan sekali, filem ini ditayangkan di Berlin di saat beberapa tahanan di Guantanamo bunuh diri. Doku-drama ini juga dapat membuka mata masyarakat antarabangsa apa yang sebenarnya berlaku di Cuba. Kehidupan tiga sahabat Tipton telah berubah sekelip mata, meski mereka dibebaskan. Isu perkauman dan pandangan serong masyarakat terhadap mereka masih menjadi duri. Malah ketika insiden pengeboman berlaku di London, ada tabloid yang mengaitkan nama mereka dengan kejadian ganas tersebut.
Hari ini sahabat Tipton bertiga ini masih menanti kes saman mereka terhadap kerajaan Amerika. Bahkan kes mereka menjadi rujukan antarabangsa bahawa kejahatan Amerika di Guantanamo mesti dihentikan segera. Angka 86, nombor pengenalan banduan Shafiq Rasul, angka 10 yang menjadi pengenalan Rehul Ahmad dan angka 87 yang menjadi identiti Asif kini menjadi semacam satu petunjuk penting akan hak asasi Amerika yang penuh penipuan, serta sikap double standard negara kuasa besar itu.
Pengekor dan peminat filem pasti menyukai doku-drama yang bijak ini. Menggunakan ‘kekurangan’ digital video, Winterbotom membuktikan penggunaan dv dengan kelam cahaya malam, pencahayaan yang terbatas, serta gerak goyang kamera tangan masih berupaya menangkap sinematografi sempadan Pakistan yang indah, sambil memaparkan keadaan kem di Guantanamo yang penuh penderitaan. Pelajar filem mesti menjadikan doku-drama ini tontonan wajib mereka sementara filem ini juga wajar ditonton oleh semua ahli gerakan Islam, demi memahami segenap kejahatan Amerika. Ini juga untuk membolehkan kita menghayati emosi Rehul, Shafiq dan Asif yang begitu tabah menghadapi penyiksaan Amerika meski dalam usia muda. Apatah lagi kita akan ditunjukkan bagaimana Amerika berkemampuan untuk membikin rakaman video palsu, gambar tipu demi membuktikan sahabat bertiga itu memang pengikut Bin Laden.
Sepatah kata Rehul, ‘pengalaman ini paling tidak menyebabkan saya menjadi seorang muslim yang lebih baik. Saya lebih beragama dari dahulu.’
Entri ini dipetik daripada laman blog Faisal Tehrani di www.tehranifaisal.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan