Khamis, 31 Julai 2008

DIRTY MARY, CRAZY LARRY

Bagi generasi baru, filem ini mungkin asing ataupun mungkin tidak pernah didengar, bagi generasi yang lahir tahun 70'an filem ini mungkin pernah ditonton, tapi sudah dilupakan.

Bagi mereka yang meminati filem-filem 'road movie' yang ada adegan kejar-mengejar antara polis dan pencuri, filem ini adalah 'mutiara' yang perlu dicari. Dan filem ini adalah salah satu daripada 'personal favourite' aku.

Mungkin agak susah untuk mendapatkan filem ini di pasaran. Aku pernah jumpa DVD filem ini di Speedy tetapi memandangkan ia agak klasik, harganya membuatkan aku berfikir berpuluh-puluh kali untuk membelinya.

Dirty Mary, Crazy Larry adalah filem terbitan tahun 1974. Dibintangi oleh Peter Fonda, Susan George, Adam Roarke dan Vic Morrow (Sgt. Saunders dalam siri TV Combat!...la Combat pun tak pernah tengok? Tak dapek den nak nolong.)

Dua orang pemandu berani mati bernama Larry dan Deke telah menahan isteri dan anak perempuan seorang pengurus supermarket sebagai tebusan. Mereka menuntut sebanyak $150,000 daripada pengurus tersebut sebagai modal untuk mereka menyertai satu perlumbaan kereta.

Setelah berjaya memiliki wang tersebut, mereka telah diugut oleh teman wanita Larry iaitu Mary yang akan melaporkan perbuatan mereka sekiranya mereka tidak membawanya bersama ke perlumbaan itu (perlumbaan NASCAR).

Sementara itu, pihak polis sedang memburu mereka. Satu pasukan yang diketuai oleh Captain Franklin telah berjaya mengesan mereka, bagaimanapun kereta peronda polis tidak mampu untuk menyaingi kereta Dodge Charger yang dipandu oleh Larry dan Deke.

Larry, Mary dan Deke sudah hampir kepada kejayaan, mereka telah berjaya mengatasi pihak polis dan semakin hampir ke tempat perlumbaan, namun penamat filem ini begitu memeranjatkan aku. Ya, aku memang tidak menyangka penamatnya begitu, aku sangkakan mereka berjaya ke tempat perlumbaan dan dapat menyertai serta memenangi perlumbaan itu, manakala Captain Franklin yang telah ditewaskan dalam pertandingan kejar-mengejar di lebuhraya akan melepaskan mereka atas sebab telah bertemu buku dengan ruas, tetapi bukan itu penamatnya. Penamatnya membuatkan aku berkata "whoa!" bila melihat kereta Dodge Charger yang dipandu Larry itu dirempuh keretapi dan meletup apabila mereka gagal memintasnya sewaktu melarikan diri dari pasukan polis. Sebuah 'ending' yang begitu 'tragic' memandangkan kejayaan sudah hampir kepada mereka.

Dan adegan pada 'ending' filem ini telah digunakan sewaktu 'opening' siri TV The Fall Guy (ingat lagi siri ini, lakonan Lee Majors?).

Filem lain yang senada dengan filem ini ialah Mad Max, Vanishing Point, The Road Warrior, Convoy, Smokey and the Bandit dan Dukes of Hazzard. Death Proof arahan Quentin Tarantino pun boleh masuk sekali, malahan beberapa kali judul filem ini disebut dalam Death Proof.

THE ARENA

Kalau biasanya kita menonton filem-filem gladiator, lazimnya didominasi oleh kaum lelaki, namun filem The Arena mengisahkan tentang gladiator wanita.

Filem yang diterbitkan pada tahun 1974 ini mengisahkan beberapa orang wanita telah dijadikan hamba abdi dan dijual kepada seorang lelaki bernama Timarchus. Sewaktu di dalam kurungan, telah terjadi pertelingkahan pada kumpulan wanita ini. Timarchus mendapati wanita-wanita ini agak handal dalam perlawanan dan menganjurkan satu perlawanan. Wanita-wanita ini harus berjuang untuk hidup, dan mereka yang kalah akan dibunuh oleh yang menang. Dua orang wanita iaitu Mamawi dan Bodicia mengatur rancangan untuk melepaskan diri dan menggunakan arena perlawanan sebagai peluang.

Filem ini telah di remake pada tahun 2001 dan diarahkan oleh pengarah Rusia, Timur Bekmambetov (Wanted, Night Watch).

RAIN SEBAGAI NINJA PEMBUNUH

Setelah berlakon sebagai Taejo Togokahn di dalam Speed Racer, penyanyi pop Korea Selatan, Jeong Ji-hoon ataupun nama komersilnya Rain akan memegang watak sebagai ninja pula. Dia akan muncul dalam filem terbaru terbitan adik beradik Wachowski dan Joel Silver berjudul Ninja Assassin.

Filem ini akan diarahkan oleh James McTeigue dan diinspirasikan daripada watak Taejo dalam filem Speed Racer. Turut berlakon adalah Naomie Harris (Calypso dalam trilogi Pirates of the Carribean), Rick Yune (Zao dalam filem Die Another Day) dan kemunculan semula Sho Kosugi sebagai Lord Ozunu.

Sho Kosugi makes a comeback! Lama aku tak tengok ninja nie berlakon. Aku rasa filem last dia yang aku tengok ialah Black Eagle bersama Jean Claude Van Damme.

Dengarnya pelakon Jet Li turut ditawarkan untuk berlakon dalam filem ini tetapi telah menolaknya, kemudian ditawarkan pula kepada Collin Chou (Seraph dalam trilogi The Matrix dan Jade Warlord dalam Forbidden Kingdom). Collin Chou juga menarik diri.

Filem ini mengisahkan seorang pemuda bernama Raizo (Rain) adalah seorang pembunuh paling merbahaya di dunia. Sewaktu kecilnya dia telah diculik dan dibesarkan oleh puak Ozunu. Dia telah dibesarkan dengan cara paling kejam dan menyeksakan. Dengan cara itu Raizo membesar menjadi seorang yang tiada perasaan melainkan untuk membunuh. Apabila seorang sahabatnya dibunuh oleh puak tersebut, Raizo menjadi marah dan menyimpan dendam terhadap puak Ozunu. Dia melarikan diri ke Eropah dan mencari jalan untuk menghapuskan puak Ozunu.

Satu lagi fakta menarik tentang filem ini, ia diterbitkan oleh Dark Castle Entertainment. Hmmm....Dark Castle sebuah produksi filem yang lazimnya menerbitkan filem-filem seram kali ini menerbitkan sebuah filem aksi thriller. Dark Castle Entertainment pada mulanya adalah sebuah produksi yang bertujuan untuk membikin semula filem-filem seram arahan William Castle seperti House on Haunted Hill dan 13 Ghosts, tetapi kemudian menerbitkan filem-filem seram baru bukan arahan William Castle seperti The Reaping, Gothika dan Ghost Ship. Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 1999 oleh Joel Silver, Robert Zemeckis dan Gilbert Adler.

Nampaknya Dark Castle telah membuka sedikit ruangnya apabila menerbitkan filem-filem yang non horror seperti Whiteout, RocknRolla dan yang terbaru adalah Ninja Assassin.

Rabu, 30 Julai 2008

PESTA JIWA

Carnival of Souls diarahkan oleh Herk Harvey pada tahun 1962. Filem ini merupakan 'cult classic' dan aku berpeluang menonton filem ini di TV suatu masa dulu. Ia pernah ditayangkan untuk slot tayangan larut malam kalau tak silap aku di RTM.

Dan filem ini telah menjadi kegemaran aku. Aku cuba mencari filem ini di kedai-kedai video tapi setakat ini hampa, kalau ada pun filem Carnival of Souls tahun 1998 yang merupakan remake untuk filem ini, remake hanya pada namanya sahaja, plot ceritanya lari sama sekali.

Filem ini bermula dengan dua orang gadis remaja berlumba kereta dengan sekumpulan lelaki. Malangnya, kereta yang dipandu oleh gadis tersebut telah terbabas dan terjunam jatuh ke dalam sungai. Pemandu kereta tersebut mati manakala penumpangnya terselamat.


Anehnya gadis yang bernama Mary itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan melangkah keluar dari dalam sungai. Kemudian kita dipaparkan pula adegan Mary sedang bermain organ di dalam sebuah mini konsert. Walaupun persembahannya telah memukau penonton, namun Mary berasa seolah-olah ada sesuatu yang meresahkan dirinya, mungkin dia masih teringatkan kejadian kemalangan yang menimpanya.



Mary berhijrah ke tempat lain untuk menjadi pemain organ di sebuah gereja. Sewaktu memandu di waktu malam, dia telah melepasi sebuah 'fun fair' lama yang telah ditinggalkan. Kemudian, sewaktu sedang memandu, kita dapat melihat imej hantu sedang memerhatikan Mary di jendela keretanya, apabila Mary menoleh, imej itu lenyap.

Apabila tiba di sebuah pekan kecil, Mary diterima bermain organ di sebuah gereja. Mary sering ternampak bayangan seorang lelaki (imej hantu yang sama yang memerhatikan Mary di dalam kereta) membuatkan dia berasa ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya. Lagi perkara aneh tentang dirinya, dia seakan-akan khayal dengan dirinya setiap kali bermain organ. Hinggalah suatu masa dia begitu asyik bermain organ dengan nada yang menyeramkan, menyebabkan dia dipecat oleh pentadbir gereja kerana memainkan nada syaitan.



Dan hantu lelaki itu semakin kerap muncul hingga dia menjadi nyata dan Mary cuba untuk melarikan diri darinya. Mary menaiki bas untuk keluar dari pekan itu tetapi terkejut apabila mendapati semua penumpang bas tersebut adalah hantu. Bas itu membawanya kembali ke 'fun fair' lama yang pernah dilewatinya sewaktu memandu di awal filem. Di dalam 'fun fair' itu hantu lelaki yang sering memerhatikannya menyambut ketibaannya. Dan Mary tiba-tiba terdengar bunyi organ membuatkan dirinya dalam keadaan terpukau. Hantu lelaki itu memegang tangan Mary dan mereka bersama-sama menari mengikut irama organ yang dimainkan.



Di akhir filem ini, sebuah trak penunda menarik keluar sebuah kereta dari dalam sungai. Di dalam kereta tersebut terdapat mayat dua orang gadis, dan salah satu daripadanya adalah mayat Mary.

Kesimpulannya, Mary memang telah mati dalam kemalangan kereta pada awal filem ini. Kisah sebegini sering dipaparkan dalam siri-siri The Twilight Zone dan plot yang sama juga terdapat dalam filem seram Jacob's Ladder dan The Jacket. Filem The Sixth Sense lakonan Bruce Willis dan arahan M. Night Shyamalan boleh juga dikatakan ada similariti dengan filem ini.

HARIMAU JADIAN DAN PEMBURU

Aku kurang menulis tentang filem Melayu dalam blog ini. Bukanlah bermakna aku tidak meminati filem Melayu, cuma agak kurang filem Melayu yang memberi kesan kepada aku. Tidak juga bermakna filem Melayu tidak bagus, banyak filem Melayu yang bagus-bagus yang telah dihasilkan. Seperti yang telah aku nyatakan filem Melayu yang memberi impak kepada aku agak kurang, iaitu yang membuatkan aku mahu menontonnya berulang-ulang kali.

Filem Tan Sri P. Ramlee memang 'something', aku tak rasa jemu walaupun ditonton berulang-ulang kali. Ada juga filem Tan Sri P. Ramlee yang tak pernah ditayangkan lagi sekarang seperti filem Si Tora Harimau Jadian. Menurut ayahku, filem ini antara filem Tan Sri P. Ramlee yang 'flop', mungkin itu sebabnya ia tidak ditayangkan lagi. Mungkin juga ada isu-isu sensitif yang menyebabkan ia tidak dapat ditayangkan, maklum sajalah, ia sebuah filem bercorak seram, pasti ada yang tidak melepasi tuntutan LPF meskipun ia diarahkan oleh Tan Sri P. Ramlee. Itu hanya andaianku sahaja, mungkin juga filem itu telah rosak menyebabkan ia tidak dapat ditayang sedangkan filem Sumpah Orang Minyak masih ditayangkan walaupun filem itu terdapat unsur-unsur tahyul dan fantasi.

Selain filem-filem Tan Sri P. Ramlee aku juga meminati filem-filem arahan Datuk Rahim Razali. Antara filem-filemnya yang aku minati iaitu filem Abang, Pemburu, Matinya Seorang Patriot, Puteri, Anak Sarawak, Tsu Feh Sofiah dan Rentak Desa. Yang paling aku minati ialah filem Pemburu. Filem ini mempunyai tema yang sama dengan filem Death Wish, Rambo dan Dirty Harry. Bayangkan, sebuah filem Melayu yang mempunyai tema 'personal vendetta' seperti itu, menegakkan keadilan dengan tangan sendiri. Aku lupa di akhir filem ini watak bapa yang dilakonkan oleh Ahmad Yatim ditangkap polis ataupun terlepas, ataupun mati sebab di Malaysia, watak yang hitam seperti ini tidak boleh diakhirkan dengan kemenangan, walaupun menang harus menerima hukuman seperti dalam filem Bintang Malam arahan Adman Salleh, watak Yazid yang dilakonkan oleh Eman Manan pada asalnya digambarkan melarikan diri menaiki kapal, tetapi sebelum 'credit roll' dipaparkan, ada tulisan menyatakan Yazid menyerah diri kepada pihak berkuasa dan dihukum penjara atas kesalahan membunuh (sekadar untuk 'menyedapkan hati' agaknya).

Mengapa agaknya Datuk Rahim Razali tidak mengarah lagi? Mungkinkah merajuk? Baru-baru ini aku menonton lakonannya bersama Eman Manan dalam siri TV Saka, seolah-olah menyaksikan reunion mereka dalam drama itu.

*Gambar diambil dari www.filemkita.com

2001 SEBUAH ODISI MENGARUT

Ramai yang mengatakan filem ini bagus. Bagi aku......apa kejadahnya filem ni, aku tak faham lansung.

2001 A Space Odyssey arahan Stanley Kubrick dan diadaptasi daripada novel sains fiksyen karya Arthur C. Clarke. Sungguh, aku tak faham cerita ni.

Ia dimulakan dengan adegan beberapa ekor beruk yang heran dengan kemunculan sebuah menara. Ini seolah-olah ingin mengaitkan dengan teori evolusi manusia rekaan Darwin. Beruk-beruk itu kemudian mendapat ilham untuk membuat senjata dengan menggunakan tulang. Seekor beruk (mungkin ketua segala beruk-beruk itu) melemparkan seketul tulang ke angkasa. Pandangan kemudian bertukar ke masa hadapan, di angkasa lepas (atau mungkin juga pada masa yang sama), sebuah satelit (ataupun space station) mengelilingi angkasa.

Kemudian filem melalut-lalut ke bulan, dua orang angkasawan menikmati sandwich di dalam sebuah kenderaan bulan. Bersembang-sembang merepek-repek. Kemudian tunjuk gambar angkasawan berjogging di dalam space station.

Klimaks filem apabila komputer bernama HAL 9000 yang menggunakan kepintaran buatan mengamuk dan membunuh manusia. Adegan akhir betul-betul memeningkan kepala aku, apabila angkasawan yang terselamat merentasi angkasalepas untuk menyelamatkan diri dari amukan HAL 9000. Adegan itu dipaparkan lebih kurang satu ke dua minit, cukup untuk self hypnosis, huhu....

Bagi aku banyak lagi filem sains fiksyen yang lebih baik daripada filem ini. Memandangkan filem ini dibuat pada tahun 60'an, banyak aksesori ataupun peralatan yang digunakan dalam filem ini memang terdapat pada tahun 2001, antaranya komputer 'flat screen', telefon yang menggunakan keypad yang mana masih belum terdapat pada tahun 60'an. Seolah-olah filem ini telah menjadi perintis ataupun inspirasi kepada terciptanya alat-alat yang digunakan sekarang.

RECOVERING FROM FLU


Firstly, aku minta maaf kalau review aku untuk entri Percayalah dan Dendam Wolverine agak 'sucks' sebab aku menulis ketika aku tengah 'lalok' kerana flu. Yeah, begitulah kerja kita bila kita dipengaruhi oleh dadah, so janganlah ambil dadah dan benda-benda lain yang mengkhayalkan kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti anda. Tapi mungkin juga review-review aku sebelum ini sememangnya sucks. Ah, what the hell, I'm just a blog writer, bukannya wartawan ataupun pengulas filem yang bekerja untuk media hiburan. I am writing because I wanted to write, dan untuk improve my writing, sebab hobi aku suka menulis. Tapi tak lah sehebat penulis-penulis lain seperti Fadz, Spiral ataupun Ajami Hashim. They are better than me, aku cuma menulis untuk kepuasan diriku sahaja.

Aku tak berkesempatan untuk menonton The Dark Knight, pertama kerana masalah kewangan dan kedua kerana kesihatan tidak mengizinkan. Insya Allah, aku akan mendapatkan VCD nya bila ia keluar di pasaran nanti (VCD je lah yang aku mampu, DVD hohoho......tapi DVD pun dah turun harga nampaknya, dah boleh dapat DVD dalam harga RM50 ke atas, kalau dulu dalam RM90 ke atas). Ini adalah ulasan terbaik tentang The Dark Knight yang diulas oleh Edd Vedder. Yeah, I like it. Kalaulah aku boleh menulis sebaik itu.

Isnin, 28 Julai 2008

DENDAM WOLVERINE

Filem Wolverine hampir siap dan dijangka akan ditayangkan pada 1 Mei 2009. Ia diarahkan oleh Gavin Hood dan dibintangi oleh Hugh Jackman. Filem ini adalah prekuel kepada trilogi The X Men dimana ia memfokuskan kepada watak James Logan dan bagaimana ia bertukar kepada Wolverine.

Dijangkakan watak Wolverine dalam filem ini lebih ganas daripada wataknya dalam trilogi The X Men.

PERCAYALAH


Setelah membaca review-review yang agak down mengenai The X Files: I Want to Believe sedikit sebanyak membuatkan aku patah semangat untuk menonton filem ini. Namun disebabkan aku adalah merupakan peminat setia siri ini dulu, maka aku lapangkan dada dan pergi juga menontonnya.

Walaupun filem ini agak kurang publisitinya berbanding filem The Mummy 3 dan The Dark Knight, sambutannya tetap hebat. Panggung tetap penuh. Selepas beberapa trailer ditayangkan, antaranya The Mummy 3, Babylon AD, Wall E dan Meet Dave (Eddie Murphy memang kelakar habis dalam filem ini, mungkin nak menyaingi Will Smith yang telah menenggelamkan namanya) maka filem yang ditunggu pun bermula.

Filem ini masih mengekalkan identiti The X Files walaupun plot kali ini agak ringan dan sejuk, ya, filem The X Files kali ini memang sejuk sangat hinggakan sewaktu aku menulis artikel inipun dalam keadaan selsema, haha. Agak kurang elemen supernatural yang dipaparkan kali ini melainkan hubungan telephatik antara seorang paderi yang 'pedophile' dengan bekas anak murid yang pernah menjadi mangsanya, yang pada mulanya disangkakan sebagai kebolehan psikik paderi tersebut. Tetapi mungkin juga, apabila dia mengetahui akan masalah yang dihadapi oleh Scully.

Sementara Mulder pula masih lagi dengan sifat keras kepala dan penuh keazaman, walaupun sudah boleh menerima hakikat akan kehilangan adik perempuannya. Mungkin kerana Mulder tidak lagi kesunyian.

Apa yang aku nampak, The X Files kali ini lebih kepada moral storytelling, iaitu cuba untuk menasihati melalui filem ini. Sejajar dengan tajuknya I Want to Believe, ia seolah-olah ingin mengajak penonton untuk beriman, seperti perbualan antara Paderi Joe bersama Scully. Maka aku rasa filem ini tidak sesuai ditayangkan sekarang, sebaliknya ia boleh dijadikan filem khas untuk tayangan Krismas dan diberi judul The X Files Christmas Special.

I Want to Believe tidaklah begitu mengecewakan berbanding Indiana Jones and the Kingdom of the Crystal Skull. Aku masih rasa berbaloi membeli tiket untuk menonton filem ini. Dengarnya
Chris Carter akan membuat sambungan untuk I Want to Believe. Dan kali ini ia akan kembali kepada plot asalnya iaitu mengenai penaklukan makhluk asing.

Kenapa agaknya muzik tema X Files berkumandang apabila gambar George W. Bush dipaparkan? Itulah misteri yang sebenarnya dalam filem ini.

Jumaat, 25 Julai 2008

ASH KEMBALI MENENTANG EVIL DEAD......EH SILAP, BRUCE KEMBALI


Bruce Campbell kembali sebagai Ash, bukan dalam sambungan Evil Dead, bukan juga dalam Army of Darkness (ada khabar angin mengatakan ada sekuelnya iaitu Army of Darkness II sedangkan Army of Darkness adalah sinambungan Evil Dead), tetapi dalam filem seram terbaru My Name is Bruce.

My Name is Bruce adalah sebuah filem komedi seram arahan Bruce Campbell sendiri. Ia mengisahkan tentang Bruce Campbell yang popular sebagai Ash di dalam filem Evil Dead telah diculik oleh penduduk sebuah kampung. Mereka menganggap Ash adalah realiti sedangkan Bruce menafikannya dan mengatakan Ash hanyalah watak lakonan. Penduduk kampung tersebut meminta bantuan Bruce untuk menentang roh Guan Di yang mengamuk apabila sekumpulan remaja secara tidak sengaja telah menghidupkannya.

Turut berlakon dalam filem ini ialah Ted Raimi. Ini adalah filem kedua arahan Bruce Campbell selepas filem Man With the Screaming Brain.

TRAILER MY NAME IS BRUCE

POSTER UNTUK FILEM RED SONJA


Ini adalah poster untuk filem terbaru Robert Rodriguez iaitu Red Sonja. Wow, brutal sungguh. Ada satu lagi poster tapi agak seksi sikit, mungkin aku akan sertakan dalam entri yang akan datang.

REUNION LAWLESS DAN SORBO DALAM BITCHSLAP

Hercules dan Xena akan bergandingan lagi. Kali ini di abad ke-21.

Bintang utama siri TV Hercules, The Legendary Journeys iaitu Kevin Sorbo dan Lucy Lawless dalam siri TV Xena The Warrior Princess akan digandingkan dalam filem baru berjudul Bitch Slap.


Aku masih belum mendapat sinopsis untuk filem ini tetapi posternya nampak 'cool'. Mengingatkan aku pada filem Sin City arahan Robert Rodriguez.


Filem ini berbentuk aksi diarahkan oleh Rick Jacobson. Turut membintangi Reneé O'Connor, yang memegang watak Gabriel di dalam siri Xena, The Warrior Princess.

Boleh dikatakan filem ini adalah 'reunion' kepada pelakon kedua-dua siri tersebut, sayangnya ia tidak diterbitkan oleh Sam Raimi dan tiada Bruce Campbell.

TRAILER BITCHSLAP

Khamis, 24 Julai 2008

JEAN CLAUDE VAN DAMME KEMBALI KE LAYAR PERAK

Lama aku tak menonton aksi pelakon ini. Dulu, dia merupakan pelakon kegemaran aku. Aku masih ingat aksi kangkangan dia, merupakan trademark dia dulu.

Setelah lama menyepi, kalau berlakon pun dalam filem-filem bodoh (aku rasa filem Street Fighter yang menjatuhkan dia), kini dia kembali semula ke layar perak.

Jean Claude Van Damme kembali dalam sebuah filem terbitan Perancis berjudul J.C.V.D, sebuah filem yang menggabungkan biografi dan fiksyen. Dalam filem ini Jean Claude Van Damme adalah seorang pelakon yang tidak lagi popular, setelah kegemilangannya dirampas oleh pelakon aksi lain seperti Steven Seagal, Jackie Chan dan sebagainya. Jean Claude Van Damme berhijrah ke Perancis dan memulakan hidup baru. Bagaimanapun sambutan terhadapnya di Perancis agak berbeza dengan sambutan di Amerika.

Filem ini bukanlah filem aksi seperti filem-filem Van Damme sebelumnya. Ia lebih menumpukan pada hidup dan kegiatan harian Van Damme.

Trivia : Van Damme pernah ditawarkan untuk berlakon di samping Arnold Schwarzenegger di dalam filem Predator sebagai makhluk asing, tetapi kemudian menolaknya kerana tidak sanggup memakai pakaian makhluk asing yang agak berat. Bagaimanapun di dalam autobiografi
Jesse Ventura, Van Damme telah dipecat kerana telah melakukan kecederaan kepada seorang stuntman dalam filem itu.

DUA ANAK MATA

Double Vision, sebuah filem penyiasatan dan seram keluaran Taiwan pada tahun 2002. Filem ini diarahkan oleh Chen Kuo-fu dan dibintangi oleh pelakon Hong Kong Tony Leung Ka Fai dan pelakon Hollywood David Morse.

Beberapa kematian misteri berlaku di Taiwan. Pertama, seorang lelaki mati kesejukan di rumahnya sedangkan suhu di rumahnya agak panas. Kematian kedua pula, seorang wanita mati terbakar di dalam sebuah rumah. Yang anehnya tiada tanda berlaku sebarang kebakaran di rumah tersebut. Kematian ketiga pula seorang paderi mati di atas katilnya sementara di perutnya terdapat lakaran tanda agama
Taoist.

Kematian itu telah mendapat perhatian luar. Seorang ajen FBI bernama Kevin Richter (David Morse) telah datang ke Taipei untuk melakukan penyiasatan. Bagaimanapun dia menghadapi masalah untuk melakukan penyiasatan apabila anggota polis Taiwan enggan memberi kerjasama kecuali seorang detektif bernama Huang Huo-tu (Tony Leung Ka Fai) yang mempunyai masalah keluarga. Dia juga disisihkan oleh rakan setugasnya akibat tindakannya melaporkan kegiatan rasuah kepada pihak atasan.

Setelah penyiasatan dibuat, mereka yakin pembunuhan ini bukan dilakukan oleh manusia biasa, sebaliknya oleh suatu entiti yang mempunyai kuasa psikik ataupun luarbiasa. Penyiasatan mereka akhirnya membawa mereka ke suatu pertubuhan agama sesat. Mereka bertujuan untuk menghidupkan kembali pahlawan purba yang memiliki dua anak mata untuk menghapuskan kejahatan di dunia.

Bagi peminat filem seram dan misteri seperti Seven, Silence of the Lambs, Suspect Zero filem ini sesuai untuk anda. Aku suka 'part' serbuan yang dilakukan oleh anggota polis ke atas kumpulan agama sesat di klimaks filem ini, di sini adegan-adegan 'gore' yang realistik dapat anda saksikan.

Rabu, 23 Julai 2008

LUPAKAN MINYAK, GUNAKAN DARAH

Aku tak pasti sama ada filem ini merupakan satira politik atau tidak, tapi plot untuk filem ini agak menarik. Gunakan darah bagi menggantikan minyak. Hmmm....

Aku belum lagi menonton filem ini, tapi nak sangat tengok, bukan berdasarkan poster dia ye! Tak pasti pula sama ada filem ini akan ditayangkan di Malaysia atau tidak.

Mengikut sinopsis yang aku baca di internet, seorang guru bernama Archie Andrews mencari alternatif baru untuk menggantikan minyak bagi keretanya memandangkan harga minyak yang meningkat naik. Sewaktu sedang melakukan pengubahsuaian pada keretanya, tangannya telah terluka. Andrew mendapati keretanya boleh berfungsi menggunakan darah. Darah telah menjadi sumber untuk keretanya bergerak, dan untuk mendapatkan bekalan darah Andrew tiada jalan lain, terpaksa menjadi pembunuh.

CONAN AKAN KEMBALI?

Sewaktu aku surf di internet, aku terjumpa poster ini dan aku tertanya-tanya, adakah Conan akan kembali ke layar perak? Siapa yang akan menjadi Conan? Mungkinkah Arnold Schwarzenegger? Kevin Sorbo? Sylvester Stallone (badan dia semakin besar sekarang) ataupun mungkin Terminator baru tu, Roland Kickinger? Siapa pula pengarah filem ini? Malangnya aku gagal mendapat sebarang maklumat tentang filem ini, hanya yang aku dapat ia dijadualkan untuk tayangan pada tahun 2009.

Maklumat baru yang aku dapat dari internet, filem Red Sonja juga sedang dalam pembikinan, ia akan diterbitkan oleh Robert Rodriguez, diarahkan oleh Douglas Aarniokoski dan dilakonkan oleh Rose McGowan sebagai Red Sonja.

KOTA GELAP

Tak. Bukan Gotham City. Tapi Dark City. Sebuah filem detektif yang kemudian bertukar menjadi sains fiksyen.

Dark City memang pada asalnya ditulis oleh
Alex Proyas sebagai sebuah cerita detektif dan misteri pembunuhan. Kisah mengenai seorang detektif yang buntu, yang gagal untuk menyelesaikan satu kes disebabkan bukti-bukti yang diperolehi membawa kepada sesuatu yang sukar untuk difahami, membuatkan detektif itu menjadi gila.

Kemudian Alex Proyas menukar pula temanya kepada kisah seorang lelaki menjadi buruan pihak polis akibat jenayah yang tidak dilakukannya.

Alex Proyas juga mendapat inspirasi melalui sebuah kisah sains fiksyen mengenai simulasi realiti seperti filem The Matrix (Dark City dikeluarkan setahun sebelum filem sulung The Matrix), kisah mengenai manusia yang terperangkap dalam sebuah dunia buatan tetapi disangkakan itu adalah realiti.

Ketiga-tiga konsep itu digabungkan maka terjadilah filem Dark City, sebuah filem sains fiksyen yang berkonsepkan tech-noir.

Dark City mengisahkan seorang lelaki yang kehilangan memori (seperti amnesia) diburu oleh polis kerana disyaki sebagai pembunuh bersiri. Setelah mengetahui 'identitinya' yang sebenar, dia juga menjadi buruan sekumpulan manusia yang mempunyai kuasa luarbiasa.

Filem ini dibintangi oleh
Rufus Sewell, William Hurt, Kiefer Sutherland dan Jennifer Connelly. Filem ini diarahkan oleh Alex Proyas dan dikeluarkan pada tahun 1998.

Selasa, 22 Julai 2008

SYURGA YANG LAIN

Pihak polis Tokyo sedang menyiasat kejadian pembunuhan yang mengerikan. Mayat yang ditemui berada di dalam keadaan di mana tempurung kepalanya dibelah dan otaknya dikeluarkan (pembunuhan yang serupa dalam siri TV Heroes). Pihak polis berada dalam keadaan buntu apabila mendapati semua orang yang rapat dengan si mati adalah suspek. Adakah mereka dapat menjejaki pembunuh yang sebenar?

Ini adalah plot untuk filem seram berbentuk penyiasatan Another Heaven yang diarahkan oleh
Jôji (George) Iida yang dikeluarkan pada tahun 2000. Filem ini tiada hantu rambut panjang seperti filem seram tipikal Jepun yang lain, cuma aksi-aksi kanibalistik ala Hannibal Lecter dan penuh dengan darah. Dinasihatkan supaya jangan menonton filem ini ketika sedang makan ataupun selepas makan, takut apa yang disumbat tadi keluar balik, huhu.

JOHNNY DEPP DAN AMITABH BACHCHAN DIPERTEMUKAN DALAM SHANTARAM


Johnny Depp



Amitabh Bachchan

Dua orang aktor popular, seorang dari Hollywood dan seorang dari Bollywood, dipertemukan dalam sebuah filem.

Mereka akan dipertemukan dalam filem Shantaram. Filem ini diadaptasikan daripada novel dengan judul yang sama, ditulis oleh
Gregory David Roberts. Filem ini diarahkan oleh Mira Nair. Ia mengisahkan seorang penagih dadah telah melarikan diri dari penjara dan menyamar sebagai doktor di Bombay. Bagaimanapun dia telah terlibat dengan kegiatan kongsi gelap yang membawanya lebih jauh sehingga ke Afghanistan dan terbabit dalam konflik bersama penjenayah-penjenayah dari Russia.

LAGI PRODUKSI HOLLYWOOD UNTUK BOLLYWOOD


Hollywood Reporter melaporkan Jennifer Lynch anak kepada pengarah terkenal David Lynch telah pergi ke India untuk membuat penggambaran sebuah filem seram kerjasama Hollywood-Bollywood berjudul Nagin - The Snake Woman. Filem itu adalah berdasarkan kepada kepercayaan masyarakat India tentang wanita yang boleh menjelma menjadi ular tedung.

Filem itu akan dibintangi oleh
Malika Sherawat dan Irfan Khan. Kesan khas untuk filem ini akan dihasilkan oleh pakar kesan khas Hollywood iaitu Robert Kurtzman.

Jennifer Lynch pernah mengarahkan filem
Boxing Helena pada tahun 1993 dan pernah menulis sebuah novel berjudul The Secret Diary of Laura Palmer sebagai 'spin-off' untuk siri TV Twin Peaks yang diarahkan oleh bapanya.

FILEM BOLLYWOOD PERTAMA TERBITAN WARNER BROS.

Nampaknya filem Bollywood pun sudah mendapat tempat di Hollywood. Filem Chandni Chowk to China merupakan filem Bollywood pertama yang diterbitkan dan diedarkan oleh Warner Bros. Filem ini diarahkan oleh Nikhil Advani dan dibintangi oleh Akshay Kumar dan Deepika Padukone.

Filem ini asalnya diberikan judul Made in China. Ia mengisahkan tentang seorang tukang masak India yang merantau ke China untuk belajar memasak. Apabila tiba di sebuah kampung di China, dia telah disangkakan sebagai jelmaan semula pahlawan purba bernama Liu Sheng.

Filem ini agak menarik kerana ia menggabungkan corak Bollywood dan aksi kung-fu Hong Kong, dan lebih menarik adalah pelakon kung-fu
Gordon Liu (sifu Pai Mei dalam filem Kill Bill Vol 2) turut berlakon dalam filem ini.

TRAILER CHANDNI CHOWK TO CHINA

Isnin, 21 Julai 2008

HONG KONG REMAKE FILEM HOLLYWOOD, HA AMBIK UBAT

Setelah filem Infernal Affairs menjadi mangsa 'remake' Hollywood dan ditukar menjadi The Departed, dan berjaya pula dinobatkan sebagai filem terbaik dalam Academy Awards ke-79, mungkin ini masanya Hong Kong membalas dendam.

Buat julung kalinya industri perfileman Hong Kong mencuplik filem Hollywood berjudul
Cellular dan diubah tajuknya menjadi Connected. Filem aksi thriller arahan Benny Chan ini mengisahkan seorang lelaki bernama Bob (Louis Khoo) telah menerima panggilan misteri daripada seorang wanita bernama Grace (Barbie Hsu) yang meminta bantuan mengatakan dirinya dan anak perempuannya telah diculik dan dikurung di sebuah rumah. Bob berjumpa dengan rakannya, seorang anggota polis, meminta pandangannya tentang perkara ini. Rakannya percaya ia hanyalah sebuah gurauan dan meminta Bob tidak mengendahkan panggilan itu.

Bagaimanapun naluri Bob merasakan panggilan itu adalah benar dan cuba untuk menyiasat perkara itu. Tetapi kemudian dia berasa dalam dilema, haruskah dia membahayakan nyawanya sendiri hanya untuk menolong seseorang yang tidak dikenalinya?

TRAILER CONNECTED

AH! SUPERHERO LAGI!


Sewaktu zaman kanak-kanak dulu, filem Superman merupakan filem yang sering ditunggu-tunggu. Yalah, sewaktu itu, teknologi perfileman masih belum secanggih sekarang, jadi sekiranya keluar filem-filem yang menggunakan teknologi canggih seperti Superman dan Star Wars pastinya ia akan meletup dan box-office.

Namun, selepas teknologi komputer berkembang maju, dan CGI sudah menjadi satu kemestian untuk setiap filem (termasuk filem Bollywood pun) maka kemaruk filem-filem superhero pun bermula. Ditambah pula dengan pengarah-pengarah muda yang ingin melihat superhero pujaan mereka sewaktu zaman kanak-kanak beraksi, maka terhasillah filem-filem superhero yang semakin berlambak sekarang.

Boleh dikatakan setiap bangsa ataupun negara ada superhero nya sendiri. Tolak Amerika Syarikat, antara negara-negara yang aku kesan mempunyai superhero ialah Thailand (Mercury Man), Malaysia (Cicak Man), India (Krrish), Turki (
3 Dev Adam), Jepun (Ultraman dan banyak lagi Masked Ridernya), Hong Kong (Black Mask) dan banyak lagilah negara yang malas aku nak cari dah.

Filem superhero terbaru yang akan menemui kita adalah Watchmen. Filem ini diadaptasi daripada komik karya Alan Moore dan Dave Gibbons. Filem Watchmen agak pelik kerana ia memaparkan tahun 1985 di alam berbeza. Presiden
Richard Nixon adalah Presiden Amerika Syarikat pada waktu itu. John Lennon, Albert Einstein, John F. Kennedy dan Andy Warhol masih hidup. Superhero adalah wujud dan menjadi komuniti penduduk dunia. Hubungan Amerika Syarikat dengan Soviet Union pada ketika ini adalah sangat tegang dan peperangan boleh berlaku pada bila-bila masa. Dan plot untuk filem ini bermula dengan pembunuhan seorang superhero bernama Comedian.

Filem ini diarahkan oleh Zack Snyder (300) dan filem ini dibintangi oleh Patrick Wilson, Jackie Earle Haley, Billy Crudup dan Jeffrey Dean Morgan (John Winchester dalam siri TV Supernatural). Filem ini dijangka akan ditayangkan pada 6 Mac 2009.

SILAT LAGENDA


Masih ingat filem ini? Ini adalah sebuah filem animasi yang diarahkan oleh Hassan Muthalib pada tahun 1998.

Silat Lagenda mengisahkan tentang lima orang remaja telah menemui lima bilah keris purba yang pernah digunakan oleh pahlawan-pahlawan Melayu pada zaman silam. Remaja-remaja tersebut kemudiannya menyerapi kuasa yang terdapat pada keris-keris itu dan menggunakannya untuk kebaikan dan menegakkan keadilan. Bagaimanapun, keris-keris tersebut turut dituntut oleh ahli sihir dari zaman silam bernama Mona.

Filem ini telah memenangi Anugerah Khas Juri untuk filem animasi Malaysia yang pertama dalam Festival Filem Malaysia ke-14 pada tahun 1999. Filem ini juga dikatakan mengambil masa selama 2 tahun untuk disiapkan.

Aku sangat berharap agar filem ini dibuat dalam bentuk 'live action' sebab jalan ceritanya sangat menarik. Sekiranya filem ini dibuat dalam bentuk live action dan digarap dengan baik, mungkin ia boleh menjadi seperti Power Rangers Malaysia. Dan pengarah yang aku rasa sesuai untuk mengarahkan filem ini ialah Hassan Muthalib dan Yusry KRU. Mungkin ada pengarah lain tetapi pada aku Yusry lebih sesuai kerana kumpulan KRU pernah menerbitkan album soundtrack untuk filem animasi ini, bererti KRU sudah faham jalan ceritanya. Itu cuma cadangan aku saja, sayang sebab filem ini telah dibiarkan dan dilupakan begitu sahaja.

LAA, BUDAK TU KE

Bila mahhass mentioned tentang Christian Bale dalam komennya aku pun saja-saja surf internet untuk membaca biografi mengenai pelakon The Dark Knight ini. Rupanya dia pernah berlakon dalam filem Empire of the Sun arahan Steven Spielberg pada tahun 1987. Aku suka filem itu, mengisahkan tentang seorang kanak-kanak Inggeris yang terpisah dengan keluarganya di Shanghai, China sewaktu Perang Dunia Kedua meletus. Filem ini sungguh dramatik, dan aku sungguh tak sangka kanak-kanak Inggeris itu bila dewasanya menjadi Batman!

Empire of the Sun diadaptasi daripada novel dengan judul yang sama karya
J.G. Ballard. Filem ini dicalonkan untuk enam oskar pada Academy Awards dan memenangi tiga anugerah iaitu sinematografi, muzik dan kesan bunyi terbaik dalam anugerah BAFTA.

Christian Bale juga pernah berlakon sebagai
Patrick Bateman (Bateman?) dalam filem American Psycho. Hmmm....kenapa dia tak berlakon sebagai Joker saja dalam The Dark Knight, pasti lebih berkesan, haha.

PAHLAWAN KEGELAPAN CATAT REKOD

Mengikut laporan daripada Associated Press (AP) filem The Dark Knight telah mencatatkan rekod sebanyak $155.34 juta pada minggu pertama tayangannya, mengatasi kutipan $151.1 juta yang dicatatkan oleh filem Spider Man 3 pada bulan May 2007.

Aku akui, memang filem The Dark Knight kelihatan lebih mengancam, lebih menerujakan berbanding filem Batman Begins. Watak Joker yang dibawakan oleh mendiang Heath Ledger pun nampaknya lebih psychotic (make-up nya mengingatkan aku pada The Crow lakonan Brandon Lee yang nampak creepy, pun mati muda jugak, ada curse tentang white face make-up kot) berbanding dengan watak yang sama lakonan Jack Nicholson dalam filem Batman (lebih kepada comical).

Namun, for personal favourite, aku lebih suka Batman sentuhan Tim Burton, lebih gelap dan gothic. Gotham City yang digambarkan dalam Batman versi Tim Burton lebih nampak fiksyen berbanding dengan Gotham City yang baru, lebih berbentuk realiti. Tapi itu selera masing-masing, dan aku tak mengatakan aku tidak menyukai The Dark Knight. Malangnya aku terpaksa 'skip' filem ini untuk menumpukan pada The X Files: I Want To Believe yang akan menjengah pawagam tidak berapa lama lagi. Juga atas faktor ekonomi, faham-fahamlah kan.

X-Philers, jangan lupa jumpa Mulder dan Scully pada 24 Julai.

Jumaat, 18 Julai 2008

KEMBALINYA MANUSIA BESI


Kalau aku menjadi Bryan Singer, aku akan 'remake' semula filem Superman III dan Superman IV menjadi lanjutan untuk filem Superman Returns. Kerana pada aku, teramat sayang kedua-dua filem itu diabaikan.

Superman Returns arahan Bryan Singer adalah lanjutan untuk filem Superman II. Ini
diakui oleh Bryan Singer sendiri. Sebenarnya filem Superman III dan Superman IV punya keistimewaan tersendiri. Di dalam Superman III, Superman mendapat musuh baru selain Lex Luthor (terdapat perselisihan faham antara pelakon Gene Hackman yang memegang watak Lex Luthor dengan produksi filem Superman II iaitu keluarga Salkind yang telah menggantikan pengarah Richard Donner kepada Richard Lester. Perselisihan ini menyebabkan Gene Hackman enggan kembali sebagai Lex Luthor untuk filem Superman III). Di dalam filem ini Superman berhadapan dengan Ross Webster (Robert Vaughn), seorang jutawan yang bercita-cita untuk mendominasi dunia dan seorang pakar komputer bernama Gus Gorman (Richard Pryor). Manakala dalam filem Superman IV pula musuh Superman kembali iaitu Lex Luthor (Gene Hackman kembali memegang watak musuh utama Superman ini atas permintaan Christopher Reeve dan juga kerana filem Superman IV tidak diterbitkan oleh keluarga Salkind).

Untuk 'remake', sekiranya aku Bryan Singer, aku akan gabungkan kedua-dua filem itu dan menjadikan multimedia sebagai ancaman baru dunia. Lex Luthor akan bergabung dengan Brainiac (watak Gus Gorman dikembangkan menjadi Brainiac, walaupun di dalam komik nama sebenar Brainiac ialah Vril Dox @ Milton Fine, merupakan makhluk asing yang datang untuk menawan bumi, tapi ah Hollywood, apa pun boleh dilakukan, kan?). Maka kedua-dua 'genius' yang 'evil' ini akan melakukan kerosakan di muka bumi (bolehkah disamakan dengan Yakjuj dan Makjuj?) dan Superman terpaksa berhadapan dengan kedua-duanya. Malangnya itu hanyalah angan-anganku saja. Takkan tercapai pun.

Berbalik kepada perkembangan filem Superman, Bryan Singer memang akan mengarah sekuel untuk Superman Returns, diberi judul Superman: The Man of Steel. The interesting part is, Bryan Singer ada telephatic kot sebab dia akan memasukkan watak Brainiac di dalam sekuel ini. Dan seperti juga yang aku cadangkan, Superman akan berhadapan dengan dua penjahat (boleh juga dikatakan tiga) iaitu watak Bizarro dan siapa lagi kalau bukan Lex Luthor. Menurut Bryan Singer, The Man of Steel lebih 'action packed' dan agak kurang drama seperti Superman Returns. Waaa....ini sudah bagus.

Brandon Routh masih lagi menjadi manusia besi, Kate Bosworth sebagai Lois Lane, Sam Huntington sebagai Jimmy Olsen, Frank Langella sebagai Perry White, Kevin Spacey sebagai Lex Luthor. Untuk watak Brainiac dan Bizarro masih belum lagi dinyatakan siapakah pelakonnya.

ROBOT AKAN MENGGANAS LAGI!


Nampaknya bukan Autobots dan Decepticons sahaja yang akan menemui penonton pada tahun hadapan, tetapi sebuah lagi robot yang tidak kurang ganasnya. T-800. Kenal model ini? Ya, model untuk filem Terminator.

Sambungan untuk filem Terminator III: Rise of the Machines juga sedang dalam pembikinan. Kali ini diberi judul Terminator Salvation. Jalan ceritanya kali ini menumpukan peperangan antara manusia dengan sistem
kepintaran buatan bernama Skynet.

Filem ini akan diarahkan oleh McG (siri TV Supernatural) dan dilakonkan oleh Christian Bale (The Dark Knight) sebagai John Connor, Bryce Dallas Howard (Gwen Stacy dalam Spider Man 3) sebagai Kate Connor, Anton Yelchin sebagai Kyle Reese dan Sam Worthington sebagai Terminator baru bernama Marcus Wright. Filem ini merupakan filem pertama Terminator tanpa kelibat Arnold Schwarzenegger. Bagaimanapun model pertama T-800 akan dilakonkan oleh pelakon dan ahli bina badan Austria iaitu
Roland Kickinger. Turut berlakon ialah Helena Bonham Carter sebagai antagonis bernama Serena.

Filem ini dijangka akan ditayangkan pada 22 May 2009. Dan kelaziman setiap filem box-office Hollywood pasti dimulakan dulu dengan novel yang merupakan prekuel untuk setiap filem yang ditayangkan. Sebuah novel prekuel dan dua 'spin-off' untuk filem ini akan diterbitkan.

TEASER TERMINATOR SALVATION

AL-FATIHAH


Arena muzik indipendent tanah air telah dikejutkan dengan kematian pemain bass band Kuchalana, Wan Hazlan @ Hazlan. Al-Fatihah dan takziah buat beliau.

Klik sini untuk membaca berita tentang Lan Kuchalana

*Foto dipetik dari laman blog Kuchalana.

Rabu, 16 Julai 2008

DENDAM ROBOT


Woo Hoo!!!! Sekuel untuk filem Transformers sedang dalam pembikinan.

Diberi judul Transformers: Revenge of the Fallen, masih mengekalkan Michael Bay sebagai sutradara, manakala Shia LaBeouf dan Megan Fox masih lagi watak utamanya, di samping Optimus Prime. Malahan watak Agent Simmons yang dibawakan oleh John Turturro turut akan kembali. Watak lain yang dijangka akan turut muncul ialah Captain William Lennox yang dibawakan oleh Josh Duhamel (Danny McCoy dalam siri TV Las Vegas). Watak Jazz yang dimatikan dalam filem Transformers mungkin akan kembali, tetapi tidak dinyatakan sama ada watak Megatron akan kembali atau tidak.

Plot keseluruhan untuk filem ini masih dirahsiakan tetapi ceritanya mungkin berkisarkan tentang serangan robot-robot Decepticons dari angkasa memandangkan di akhir filem Transformers dulu, watak Starscream ditunjukkan masih bebas dan terbang menuju ke langit. Kemungkinan Starscream kembali ke bumi bersama-sama Decepticons yang lain. Watak Scorponok juga tidak diketahui sama ada masih hidup atau mati setelah melarikan diri selepas bertempur dengan beberapa orang tentera Amerika sewaktu di Qatar.

Filem ini dijangka akan ditayangkan pada 26 Jun 2009. Michael Bay juga akan membuat 'remake' untuk filem Friday the 13th. Baca di sini.

KOLEKSI HIMPUNAN TRAILER



Hmmm......nampaknya trailer filem pun boleh buat duit jugak, haha. Sebuah produksi filem independent, Nucleus Films telah menghimpunkan dan menerbitkan koleksi trailer filem-filem Grindhouse tahun 60'an dan 70'an.

Koleksi ini dikeluarkan dalam dua volume iaitu volume 1 dan volume 2. Antara trailer-trailer yang dimuatkan ialah
The Black Gestapo, Ten Violent Women, Bloody Pit of Horror, The Pink Angels, Foxy Brown dan banyak lagi. Filem-filem inilah yang telah menjadi inspirasi kepada pengarah-pengarah generasi sekarang seperti Quentin Tarantino, Robert Rodriguez, Eli Roth dan Rob Zombie.

Untuk menyaksikan beberapa klip daripada koleksi trailer ini anda boleh
klik sini dan sini tetapi amaran kerana klip-klip ini bukan untuk tayangan umum dan tidak selamat untuk disaksikan sekiranya anda berada di pejabat ataupun ada kanak-kanak berhampiran anda.

Isnin, 14 Julai 2008

KOBOI PELIK

Koboi pelik ataupun dalam Bahasa Inggerisnya 'Weird Western' adalah gabungan genre Western dengan genre yang lain seperti seram, sains fiksyen dan fantasi. Sebagai contoh filem 'weird western' yang popular ialah filem The Wild Wild West yang dilakonkan oleh Will Smith, merupakan gabungan filem koboi (western) dan sains fiksyen. Di bawah aku senaraikan beberapa filem 'weird western' yang pernah aku tonton dan akan tonton.



Billy the Kid vs. Dracula


Contoh gabungan seram dan western. Di dalam filem ini legenda koboi
Billy the Kid menentang pontianak bernama Count Dracula. Filem ini diterbitkan pada tahun 1966 dan dilakonkan oleh John Carradine sebagai Count Dracula manakala watak Billy the Kid dipegang oleh Chuck Courtney.



Jesse James Meets Frankenstein's Daughter


Selepas Billy the Kid menentang Dracula, seorang lagi legenda Amerika menentang makhluk paling menggerunkan iaitu
Frankenstein. Juga terbitan tahun 1966 dibintangi oleh John Lupton sebagai Jesse James.



High Plains Drifter


Walaupun filem ini merupakan filem koboi yang tulin, tetapi watak hero yang dibawa oleh Clint Eastwood dalam filem ini begitu misteri. Tiada nama untuk watak Clint Eastwood dalam filem ini. Siapa dia yang sebenar, hantu atau manusia? Dan kedatangannya ke pekan Lago membuatkan ramai orang di situ gerun kepadanya. Mungkin juga dia adalah malaikat maut yang datang untuk mencabut nyawa. Carilah filem terbitan tahun 1973 yang diarahkan oleh Clint Eastwood sendiri, memang berbaloi. Contoh sebuah filem western berbentuk thriller.



Outland


Filem yang diadaptasi dari filem western lama,
High Noon. Tempat dan masa telah diubah, bukan lagi di Amerika Syarikat tetapi di sebuah planet, di masa hadapan. Dibintangi oleh Sean Connery.



Back to the Future III


Lanjutan dari filem Back to the Future II mengisahkan Marty McFly kembali ke zaman koboi untuk membawa kembali Dr. Emmett Brown ke zaman sebenar, sekaligus mengetahui tentang asal-usul keluarga McFly. Dibintangi oleh Michael J. Fox dan Christopher Lloyd.



Purgatory


Sekumpulan penjenayah melarikan diri setelah merompak sebuah bank di sebuah bandar. Mereka kemudian tiba di sebuah pekan dan disambut oleh komuniti di pekan itu yang hidup secara aman dan tidak menggunakan senjata api. Mereka tidak mengetahui bahawa komuniti yang ada di pekan itu adalah bekas penjenayah dan legenda Amerika yang telah mati seperti Billy the Kid, Jesse James,
Doc Holliday, Wild Bill Hickock dan sebagainya. Pekan ini mungkin persinggahan sebelum menuju ke syurga atau neraka, bermakna kumpulan perompak itu sudah pun mati sebenarnya. Dibintangi oleh Donnie Wahlberg.



Dead Birds


Sekumpulan perompak bank melakukan rompakan di sebuah bank sewaktu zaman
Perang Saudara Amerika. Kumpulan ini diketuai oleh William, seorang tentera Konfederasi yang lari dari medan perang, Todd, seorang hamba juga dalam pelarian, dan Annabelle, jururawat tentera. Rompakan mereka tidak berjalan lancar seperti yang dirancangkan apabila mereka terlibat dengan pertempuran bersama anggota tentera yang kebetulan berada di bank tersebut. Bagaimanapun mereka dapat melarikan beberapa jongkong emas. Mereka kemudian melarikan diri menuju ke Mexico. Ketika malam menjelang, mereka singgah di sebuah rumah tinggal berhampiran ladang jagung, tanpa mengetahui bahawa maut menanti mereka di rumah ini. Dead Birds diarahkan oleh Alex Turner.



Gallow Walker


Kisah pemburu zombie bernama Aman di zaman koboi. Dibintangi oleh
Wesley Snipes dan Riley Smith. Dijangka akan ditayangkan pada tahun 2009.